Perang
Siffin
Termasuk sejarah versi Syi`ah adalah Perang
Siffin merupakan pemberontakan yang diketuai oleh Muawiyah bin Abi Sufyan ke
atas Ali bin Abi Thalib. Sekali lagi hal ini perlu diteliti semula, benarkah
Muawiyah bin Abi Sufyan radhiallahu ‘anh memimpin kaum pemberontak ke atas
Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh?
Sebelum menjawab persoalan ini, ingin saya
jelaskan terlebih dahulu keutamaan Muawiyah. Ini kerana sejak dari bangku
sekolah, kebanyakan di kalangan kita mengenali beliau sebagai seorang sahabat
yang zalim, pendusta dan pelbagai lagi sifat yang negatif. Pengenalan bentuk
negatif ini begitu meluas sehingga jarang-jarang kita menemui ibubapa yang
menamakan anaknya “Muawiyah” berbanding dengan nama para sahabat yang lain.
Keutamaan Muawiyah bin Abi Sufyan
Muawiyah bin Abi Sufyan adalah salah seorang
sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang mulia. Beliau dilahirkan
15 tahun sebelum peristiwa hijrah. Mengikut pendapat yang lebih tepat, beliau
memeluk Islam selepas Perjanjian Hudaibiyah, iaitu antara tahun 6 hingga 8
hijrah. [Maulana M. Asri Yusoff – Sayyidina Mu’awiyah: Khalifah Rashid Yang
Teraniaya (Pustaka Bisyaarah, Kubang Kerian, 2004), ms. 9-10].
Dalam sebuah hadis yang dinilai sahih oleh Syaikh
al-Albani rahimahullah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah
mendoakan Muawiyah: “Ya Allah! Jadikanlah beliau orang yang memimpin kepada
hidayah dan berikanlah kepada beliau hidayah.” [Silsilah al-Ahadits al-Shahihah
(Maktabah al-Ma`arif, Riyadh, 1995), hadis no: 1969]
Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan di dalam kitab
Shahihnya – hadis no: 2924 bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda: “Pasukan pertama daripada kalangan umatku yang berperang di laut,
telah dipastikan bagi mereka (tempat di syurga).” Fakta sejarah mencatitkan
bahawa armada laut yang pertama bagi umat Islam dipimpin oleh Muawiyah pada jaman
pemerintahan Amirul Mukminin Usman ibn Affan radhiallahu ‘anh.
Di dalam Shahih Muslim – hadis no: 2501, Abu
Sufyan pernah meminta kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam agar
Muawiyah menjadi jurutulis baginda. Rasulullah memperkenankan permintaan ini.
Sejak itu Muawiyah menjadi jurutulis al-Qur’an dan surat-surat Rasulullah,
sekali gus menjadi orang yang dipercayai di sisi baginda.
Muawiyah juga merupakan seorang sahabat yang
dihormati oleh para sahabat yang lain. Beliau diangkat menjadi gabenor di Syam
semasa jaman pemerintahan Amirul Mukminin Umar dan Usman. Pada jaman
pemerintahan beliau sendiri, pernah seorang mengadu kepada Ibn Abbas radhiallahu
‘anh bahawa Muawiyah melaksanakan solat witir dengan hanya satu rakaat. Ibn
Abbas menjawab: “(Biarkan), sesungguhnya dia seorang yang faqih (faham agama).”
[Shahih al-Bukhari – hadis no: 3765]
Demikianlah beberapa keutamaan Muawiyah yang
sempat dinyatakan dalam tulisan ini. Dapat dikenali bahawa beliau bukanlah
sebarangan orang tetapi merupakan salah seorang sahabat Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam yang mulia.
Pendirian Muawiyah tentang kekhalifahan
Ali
Apabila Amirul Mukminin Usman ibn Affan radhiallahu
‘anh dibunuh, Ali bin Abi Thalib diangkat menjadi khalifah. Beliau dibai`ah
oleh sebahagian umat Islam. Wujud sebahagian lain yang tidak membai`ah beliau,
di antaranya ialah Muawiyah. Hal ini berlaku bukan kerana Muawiyah menafikan
jawatan khalifah daripada Ali, akan tetapi Muawiyah mengkehendaki Ali terlebih
dahulu menjatuhkan hukuman hudud ke atas para pembunuh Usman.
Al-Imam Ibn Hazm rahimahullah menerangkan hakikat
ini:
“Dan tidaklah Muawiyah mengingkari sedikit jua
akan keutamaan Ali dan hak beliau untuk menjadi khalifah. Akan tetapi pada
ijtihad beliau, perlu didahulukan penangkapan ke atas para pembakar api fitnah
daripada kalangan para pembunuh Usman radhiallahu ‘anh daripada urusan bai`ah.
Dan beliau juga berpendapat dirinya paling berhak untuk menuntut darah Usman.”
[al-Fishal, jld. 3, ms. 85]
Di sisi Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib,
beliau bukan sengaja membiarkan para pembunuh Usman berkeliaran secara bebas.
Malah beliau mengetahui bahawa mereka itu menyamar diri dan berselindung di kalangan
umat Islam serta berpura-pura membai`ah beliau. Akan tetapi dalam suasana umat
Islam yang masih berpecah belah, adalah sukar untuk beliau mengambil apa-apa
tindakan. Sebaliknya jika umat Islam bersatu, mudah baginya untuk mengambil
tindakan ke atas para pembunuh Usman.
Berlakunya Perang Siffin
Setelah Perang Jamal berakhir, Amirul Mukminin
Ali bin Abi Thalib menghantar utusan kepada Muawiyah meminta beliau berbai`ah
kepada dirinya. Muawiyah menolak, sebaliknya mengulangi tuntutannya agar Amirul
Mukminin Ali mengambil tindakan ke atas para pembunuh Usman. Jika tidak,
Muawiyah sendiri yang akan mengambil tindakan. Mendengar jawapan yang
sedemikian, Amirul Mukminin Ali menyiapkan pasukannya dan mula bergerak ke arah
Syam. Senario ini menyebabkan Muawiyah juga mempersiapkan pasukannya dan mula
bergerak ke arah Kufah. Akhirnya kedua-dua pasukan ini bertemu di satu tempat
yang bernama Siffin dan bermulalah peperangan yang dikenali dengan Perang
Siffin.
Para pengkaji berbeza pendapat, kenapakah Amirul
Mukminin Ali mempersiapkan pasukannya ke arah Syam? Persoalan ini masih
memerlukan penelitian yang mendalam dengan mengambil kira faktor-faktor luaran
dan dalaman yang wujud pada ketika itu. Amirul Mukminin Ali tidak akan
mengambil apa-apa tindakan melainkan ia adalah untuk kemaslahatan umat Islam
seluruhnya. Hal ini mengingatkan sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
yang meramalkan berlakunya Perang Siffin:
“Tidak akan datang Hari Kiamat sehingga dua
kumpulan yang besar saling berperang. Berlaku antara kedua-duanya pembunuhan
yang dahsyat padahal seruan kedua-dua kumpulan tersebut adalah satu (yakni
kebaikan Islam dan umatnya).” [Shahih Muslim – hadis no: 157]
Muawiyah memberontak kepada Ali?
Kini penelitian kita sampai kepada persoalan:
Benarkah Muawiyah memimpin pemberontakan ke atas Amirul Mukminin Ali?
Jawapannya tidak. Ini kerana jika dikatakan seseorang itu memberontak kepada
pemimpinnya, nescaya pemberontak itulah yang bergerak ke arah pemimpin. Akan
tetapi dalam kes Muawiyah, beliau tidak bergerak ke arah Amirul Mukminin Ali.
Sekalipun Muawiyah enggan membai`ah Ali, beliau hanya berdiam diri di Syam
tanpa memulakan apa-apa tindakan ketenteraan.
Syaikh Muhib al-Din al-Khatib rahimahullah
(1389H) menjelaskan:
“Lalu Ali berangkat meninggalkan Kufah dan menuju
di permulaan jalan yang menuju ke arah Syam dari Iraq. Ali mengisyaratkan
supaya orang ramai tetap tinggal di Kufah dan mengirimkan yang selainnya ke
Syam. Sampai berita kepada Muawiyah bahawa Ali telah mempersiapkan pasukannya
dan Ali sendiri keluar untuk memerangi beliau. Maka para pembesar Syam
mengisyaratkan kepada Muawiyah agar dia sendiri turut keluar (untuk berhadapan
dengan pasukan Ali). Maka orang-orang Syam berangkat menuju ke Sungai Furat
melalui Siffin dan Ali maju bersama pasukannya menuju Siffin juga.
Seandainya Ali tidak mempersiapkan pasukan yang
bergerak dari Kufah nescaya Muawiyah tidak akan bergerak (dari Syam).” [catitan
notakaki kepada al-`Awashim min al-Qawashim, ms. 166 & 168 ]
Dalam persoalan ini terdapat sebuah hadis yang lazim
dijadikan alasan melabel Muawiyah sebagai pemberontak. Hadis tersebut
diriwayatkan oleh al-Imam Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 2916 di
mana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada `Ammar bin Yasir
radhiallahu ‘anh:
“Engkau akan dibunuh oleh kelompok pemberontak.”
Di dalam Perang Siffin, `Ammar berada di dalam
pasukan Amirul Mukminin Ali dan beliau terbunuh dalam peperangan tersebut. Lalu
Muawiyah dilabel sebagai pemberontak kerana pasukan beliaulah yang memerangi
Ali sehingga menyebabkan `Ammar terbunuh.
Sebenarnya tidak tepat menggunakan hadis di atas
untuk melabel Muawiyah sebagai pemberontak. Sebabnya:
1. Sejak awal para sahabat mengetahui bahawa
`Ammar bin Yasir berada di dalam pasukan Amirul Mukminin Ali. Dengan itu, sesiapa
yang memerangi pasukan Ali, nescaya mereka adalah para pemberontak. Akan tetapi
fakta sejarah mencatitkan bahawa ramai sahabat yang mengecualikan diri daripada
Perang Siffin. Jika mereka memandang pasukan Muawiyah sebagai pemberontak,
nescaya mereka tidak akan mengecualikan diri, malah tanpa lengah akan menyertai
pasukan Ali. Sikap mereka yang mengecualikan diri menunjukkan mereka tidak
memandang pasukan Muawiyah sebagai pihak yang memberontak. Perlu ditambah
bahawa hadis yang meramalkan pembunuhan `Ammar bin Yasir oleh kelompok
pembangkang adalah hadis mutawatir yang diriwayatkan oleh lebih daripada 20
orang sahabat. [Rujuk Qathf al-Azhar al-Mutanatsirah fi al-Akhbar
al-Mutawatirah oleh al-Imam al-Suyuthi (911H) (al-Maktab al-Islami, Beirut,
1985), hadis no: 104]
2. Amirul Mukminin Ali juga mengetahui bahawa
`Ammar bin Yasir berada dalam pasukannya. Akan tetapi Ali mengakhiri Perang
Siffin melalui perdamaian yang disebut sebagai peristiwa Tahkim. Seandainya Ali
memandang Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya beliau tidak akan
melakukan apa-apa usaha perdamaian dengannya.
3. Apabila terbunuhnya Amirul Mukminin Ali,
jawatan khalifah diserahkan kepada anaknya, Hasan bin Ali radhiallahu ‘anh.
Tidak berapa lama selepas itu, Hasan menyerahkan jawatan khalifah kepada
Muawiyah. Padahal Hasan juga mengetahui bahawa `Ammar bin Yasir telah terbunuh
dalam Perang Siffin. Jika Hasan memandang Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya
beliau tidak akan menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah. Namun Hasan
tetap menyerahkannya, menunjukkan beliau tidak memandang Muawiyah sebagai
pemberontak.
Semua ini membawa kepada persoalan seterusnya,
siapakah yang sebenarnya dimaksudkan sebagai “kelompok pemberontak”? Kelompok
pemberontak tersebut bukanlah pasukan Muawiyah mahupun pasukan Amirul Mukminin
Ali, akan tetapi adalah orang-orang yang pada asalnya menyebabkan berlakunya
peperangan antara Muawiyah dan Ali. Mereka adalah kelompok pemberontak yang
asalnya memberontak kepada Amirul Mukminin Usman ibn Affan sehingga akhirnya membunuh
beliau. Diingatkan bahawa sekalipun pada zahirnya peperangan kelihatan berlaku
di antara para sahabat, faktor yang menggerakkannya ialah para pemberontak yang
asalnya terlibat dalam pembunuhan Usman.
Syaikh Mubih al-Din al-Khatib rahimahullah
menjelaskan hakikat ini:
“Sesungguhnya orang yang membunuh orang Islam
dengan tangan kaum Muslimin setelah terjadinya pembunuhan Usman, maka dosanya
berada di atas para pembunuh Usman kerana mereka adalah pembuka pintu fitnah
dan mereka yang menyalakan apinya dan mereka yang menipu sebahagian hati kaum
muslimin dengan sebahagian yang lain. Maka sebagaimana mereka membunuh Usman
maka mereka juga membunuh setiap orang yang mati selepas Usman, di antaranya
seperti `Ammar dan orang yang lebih utama daripada `Ammar iaitu Thalhah dan
al-Zubair, sehinggalah berakhirnya fitnah dengan terbunuhnya Ali.
Segala sesuatu yang terjadi kerana fitnah maka
yang menanggungnya adalah orang yang menyalakan apinya kerana merekalah
penyebab yang pertama. Mereka itulah “kelompok pembangkang” yang membunuh, yang
menyebabkan setiap pembunuhan dalam Perang Jamal dan Perang Siffin dan
perpecahan yang berlaku selepas kedua-dua perang tersebut.” [catitan notakaki
kepada al-`Awashim min al-Qawashim, ms. 173]
Kebenaran tetap bersama pemimpin
Sekalipun dikatakan bahawa Muawiyah bukan
pemberontak, tidaklah bererti Muawiyah berada di pihak yang benar. Di dalam
Islam, apabila wujud perbezaan pendapat antara pemimpin dan selain pemimpin,
maka kebenaran terletak bersama pemimpin. Hendaklah mereka yang menyelisihi
pemimpin tetap bersama pemimpin dan berbincang dengan beliau terhadap apa yang
diperselisihkan. Di dalam peristiwa yang membawa kepada Perang Siffin, pemimpin
saat itu ialah Amirul Mukminin Ali. Maka sikap yang lebih tepat bagi Muawiyah
ialah tidak meletakkan syarat untuk membai`ah Ali, sebaliknya terus membai`ah
beliau dan kemudian berbincang dengan beliau tentang cara terbaik untuk
mengambil tindakan ke atas para pembunuh Amirul Mukminin Usman.
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah
menegaskan:
“Dan Muawiyah bukanlah daripada kalangan mereka
yang memilih untuk memulakan perang, bahkan beliau daripada kalangan yang
paling mengkehendaki agar tidak berlaku perang. Yang benar adalah tidak
berlakunya peperangan. Meninggalkan peperangan adalah lebih baik bagi kedua-dua
pihak. Tidaklah dalam peperangan tersebut (Perang Siffin, wujud satu) pihak
yang benar. Akan tetapi Ali lebih mendekati kebenaran berbanding Muawiyah.
Peperangan adalah peperangan kerana fitnah, tidak ada yang wajib dan tidak ada
yang sunat dan meninggalkan perang adalah lebih baik bagi kedua-dua pihak.
Hanya sahaja Ali adalah lebih benar. Dan ini merupakan pendapat (al-Imam) Ahmad
dan kebanyakan ahli hadis dan kebanyakan para imam fiqh dan ini juga merupakan
pendapat para tokoh sahabat dan tabi’in yang selalu mendapat kebaikan.” [Minhaj
al-Sunnah, jld. 4, ms. 447-448]
Allahu a’lam bisshawab.
- Pendirian Muawiyah Di Sebalik Perang
Siffin, Hafiz Firdaus Abdullah
Bersambung ...
Bila ingin membaca lebih lanjut ebook ini, Klik tulisan ini untuk kembali ke-link-link di daftar isi
Anda sedang membaca artikel tentang Perang Siffin dan anda bisa menemukan artikel Perang Siffin ini dengan url http://manfaatputih.blogspot.com/2013/08/perang-siffin.html, anda boleh menyebarluaskannya atau mengcopypaste-nya jika artikel Perang Siffin ini sangat bermanfaat bagi teman-teman anda, namun jangan lupa untuk meletakkan link Perang Siffin sebagai sumbernya.
3 komentar:
Sangat membantu saya yg cari info tentang tokoh ini. Thanks.
like
like
Posting Komentar
Beri Komentarmu disini!