Perang
Jamal
Sekalipun aliran Syi`ah telah diharamkan di
Malaysia, sebahagian daripada ajaran mereka masih tersebar luas. Di antaranya
ialah berkenaan sejarah para sahabat, dimana banyak buku-buku tempatan yang
memuatkan kisah tersebut berdasarkan versi Syi`ah. Sejarah versi Syi`ah mudah
dikenali, ia bersifat pro kepada Ali bin Abi Thalib serta ahli keluarganya dan
bersifat kontra kepada para sahabat yang lain. Kisah-kisah sejarah versi Syi`ah
telah mendapat tempat yang kukuh dalam pemikiran umat Islam tanah air sejak di
bangku sekolah sehingga dianggap ia adalah fakta yang benar.
Aisyah memberontak kepada Ali?
Antara sejarah versi Syi`ah yang masyhur adalah
Perang Jamal merupakan pemberontakan yang diketuai oleh Aisyah ke atas Ali bin
Thalib. Kenyataan ini memerlukan penelitian semula: Benarkah Perang Jamal
adalah satu gerakan pemberontakan ke atas Ali yang diketuai oleh Aisyah?
Perang Jamal bermula apabila Aisyah, Thalhah dan
al-Zubair radhiallahu ‘anhum serta orang-orang yang bersama mereka pergi ke
Basrah selepas pengangkatan Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh menjadi
khalifah umat Islam. Semua ini berlaku selepas pembunuhan Amirul Mukminin Usman
bin Affan radhiallahu ‘anh. Melihatkan pemergian Aisyah dan pasukannya, Amirul Mukminin
Ali turut pergi ke Basrah bersama pasukannya. Apabila menghampiri Basrah,
kedua-dua pasukan ini telah bertembung dan dengan itu berlakulah satu
peperangan yang dinamakan Perang Jamal. Ia dinamakan sedemikian kerana Aisyah
berada di atas unta (Jamal) ketika peperangan tersebut.
Dalam peristiwa ini, timbul dua persoalan. Yang
pertama, kenapakah Aisyah dan pasukannya bergerak ke Basrah? Al-Qadhi Ibn al-Arabi
rahimahullah (543H) menerangkan bahawa orang ramai mengemukakan beberapa
pendapat. Ada yang berkata mereka keluar kerana ingin melucutkan Ali daripada
jawatan khalifah. Ada yang berkata mereka benci kepada Ali. Ada yang berkata
mereka ingin mencari para pembunuh Usman. Ada yang berkata mereka keluar untuk
menyatu-padukan semula umat Islam. Di antara semua pendapat ini, yang benar
adalah yang terakhir. Al-Qadhi Ibn al-Arabi menegaskan:
“Mungkin mereka keluar demi keseluruhan umat
Islam, mengumpulkan dan menyatu-padukan mereka kepada undang-undang yang satu
(Islam) agar tidak berlaku kebingungan yang akan mengakibatkan peperangan. Dan
inilah pendapat yang benar, tidak yang lainnya.” [al-`Awashim min al-Qawashim
fi Tahqiq Mawaqif al-Shahabah ba’da Wafati al-Nabi (diteliti oleh Muhib al-Din
al-Khatib; Dar al-Jil, Beirut, 1994), ms. 155]
Sebelum itu hal yang sama ditegaskan oleh al-Imam
Ibn Hazm rahimahullah (456H):
“Dan adapun (pemergian) Ummul Mukminin (Aisyah),
al-Zubair dan Thalhah radhiallahu ‘anhum berserta orang-orang yang bersama
mereka (ke Basrah), tidaklah mereka sedikit jua bertujuan membatalkan
kekhalifahan Ali, mereka tidak mencabar jawatan tersebut, mereka tidak menyebut
apa-apa kecacatan yang merendahkan beliau daripada jawatan tersebut, mereka
tidak bertujuan mengangkat khalifah baru yang lain dan mereka tidak
memperbaharui bai`ah kepada sesiapa yang lain. Ini adalah sesuatu yang tidak
dapat diingkari oleh sesiapa jua dengan apa cara jua.
Kebenaran yang sebenar yang tidak memiliki
apa-apa permasalahan padanya adalah mereka tidak pergi ke Basrah untuk
memerangi Ali atau menentangnya atau mencabut bai`ah daripadanya ……yang benar
mereka berangkat ke Basrah tidak lain untuk menutup (daripada berlakunya)
perpecahan yang baru dalam Islam disebabkan peristiwa pembunuhan yang zalim ke
atas Amirul Mukminin Usman radhiallahu ‘anh.” [al-Fishal fi al-Milal wa
al-Ahwa’ wa al-Nihal (diteliti oleh Ahmad Syams al-Din; Dar al-Kutub al-Ilmiah,
Beirut, 1996), jld. 3, ms. 83]
Berdasarkan penerangan di atas, jelas kepada kita
bahawa dalam pemergiannya ke Basrah, Aisyah radhiallahu ‘anha tidak memiliki
tujuan berperang atau memberontak terhadap Ali radhiallahu ‘anh. Ini membawa
kita ke persoalan kedua, jika demikian kenapakah kedua-dua pasukan ini
bertembung dan berperang?
Kenapakah berlakunya Perang Jamal?
Al-Imam Ibn Hazm melanjutkan, pasukan Ali turut
ke Basrah bukan untuk memerangi pasukan Aisyah tetapi untuk bersatu dengan
mereka, menguatkan mereka dan menyatukan umat Islam dalam menghadapi peristiwa
pembunuhan Usman. [al-Fishal, jld. 3, ms. 83]
Akan tetapi pada waktu yang sama wujud juga
orang-orang yang sebelum itu terlibat dalam pembunuhan Usman. Mereka menyamar
diri dengan berselindung di kalangan umat Islam. Apabila melihat Aisyah dan
pasukannya pergi ke Basrah, mereka menyalakan api fitnah kononnya pemergian
tersebut adalah kerana perpecahan daripada kekhalifahan Ali. Namun apabila para
pembunuh Usman mendapat tahu bahawa pasukan Aisyah dan Ali telah bersatu,
mereka menjadi bimbang lagi cemas. Ini kerana selagi mana umat Islam berpecah,
selagi itulah para pembunuh Usman terselamat daripada apa-apa tindakan. Sebaliknya
jika umat Islam bersatu, pasti kesatuan tersebut akan memudahkan tindakan
diambil ke atas para pembunuh Usman.
Maka para pembunuh Usman merancang untuk
melagakan kedua-dua pasukan tersebut. Pada awal pagi ketika hari masih gelap,
mereka menyerang pasukan Aisyah. Dalam suasana terperanjat daripada tidur yang
lena, pasukan Aisyah menyangka bahawa pasukan Ali telah berlaku khianat dan
menyerang mereka. Sebagai tindakan mempertahankan diri sendiri (self defense),
mereka menyerang balas ke atas pasukan Ali. Pasukan Ali pula menyangka pasukan
Aisyah telah berlaku khianat dan menyerang mereka. Dengan itu mereka menyerang
balas, juga sebagai tindakan mempertahankan diri sendiri. Tanpa
disangka-sangka, bermulalah Perang Jamal sekali pun kedua-dua pihak pada
asalnya tidak memiliki apa-apa tujuan berperang.
Al-Hafiz Ibn Katsir rahimahullah (774H)
memperincikan detik-detik yang mengakibatkan bermulanya Perang Jamal:
“Orang-orangpun merasa tenang lagi lega …… pada
waktu malamnya kedua-dua pihak bermalam dalam keadaan yang sebaik-baiknya. Akan
tetapi para pembunuh Usman melalui malam tersebut dalam keadaan yang
seburuk-buruknya. Mereka berbincang dan bersepakat untuk mengobarkan peperangan
pada awal pagi esoknya. Mereka bangun sebelum terbit fajar, jumlah mereka menghampiri
seribu orang. Masing-masing kelompok bergabung dengan pasukannya lalu menyerang
mereka (pasukan Aisyah) dengan pedang. Setiap golongan bergegas menuju kaumnya
untuk melindungi mereka. Orang-orang (pasukan Aisyah) bangun dari tidur dan
terus mengangkat senjata. Mereka berkata: “Penduduk Kufah (pasukan Ali)
menyerbu kita pada malam hari, mereka mengkhianati kita!”
Mereka (pasukan Aisyah) mengira bahawa para
penyerang itu berasal dari pasukan Ali. Suasana hura hara tersebut sampai ke
pengetahuan Ali, lalu beliau bertanya: “Apa yang terjadi kepada orang ramai?”
Mereka menjawab: “Penduduk Basrah (pasukan Aisyah) menyerang kita!”
Maka kedua-dua pihak mengangkat senjata
masing-masing, mengenakan baju perang dan menaiki kuda masing-masing. Tidak ada
seorang jua yang menyedari apa yang sebenarnya terjadi.” [al-Bidayah wa
al-Nihayah (diteliti oleh Ahmad `Abd al-Wahhab; Dar al-Hadith, Kaherah, 1997),
jld. 7, ms. 227]
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H)
meringkaskan detik-detik ini dalam satu perenggan:
“Mereka (para pembunuh Usman) menyerang khemah
Thalhah dan al-Zubair. Lalu Thalhah dan al-Zubair menyangka bahawa Ali telah
menyerang mereka, maka mereka menyerang kembali untuk mempertahankan diri (self
defense). Seterusnya Ali pula menyangka bahawa mereka (Thalhah dan al-Zubair)
menyerangnya, maka Ali menyerang kembali untuk mempertahankan diri. Maka
berlakulah fitnah (peperangan) tanpa ia menjadi pilihan mereka (kedua-dua
pihak).
Manakala Aisyah radhiallahu ‘anha hanya berada di
atas pelana untanya, beliau tidak menyerang dan tidak memerintahkan serangan.
Demikianlah yang diterangkan oleh tidak seorang daripada para ilmuan dalam
bidang sejarah (Ahl al-Ma’rifat bi al-Akhbar).” [Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah
fi Naqd Kalam al-Syi`ah wa al-Qadariyyah (diteliti oleh M. Rasyad Salim;
Muassasah Qurtubiyyah, 1986), jld. 4, ms. 317]
Demikianlah penjelasan para ilmuan Ahl al-Sunnah
wa al-Jama’ah berkenaan Perang Jamal. Kembali kepada persoalan asal pada
permulaan artikel ini: Benarkah Perang Jamal adalah satu gerakan pemberontakan
ke atas Ali yang diketuai oleh Aisyah? Penjelasan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah
menjadi jawapan kepada persoalan asas ini, sekali gus sebagai penutup kepada
artikel ini:
“Sesungguhnya Aisyah tidak diperangi dan tidak
pergi untuk berperang. Sesungguhnya beliau pergi hanya untuk kebaikan umat
Islam. Beliau menjangkakan pada pemergiannya terdapat kemaslahatan kepada umat
Islam. Kemudian sesudah itu jelas baginya bahawa meninggalkan pemergian
tersebut adalah lebih tepat. Maka setelah itu apabila sahaja beliau mengingat
kembali pemergiannya itu, beliau menangis sehingga membasahi kain tudungnya.”
[Minhaj al-Sunnah, jld. 4, ms. 316]
Allahu a’lam bisshawab.
- Pendirian Aisyah Dan Para Sahabat Di
Sebalik Perang Jamal, Hafiz Firdaus Abdullah
Bersambung ...
Bila ingin membaca lebih lanjut ebook ini, Klik tulisan ini untuk kembali ke-link-link di daftar isi
Anda sedang membaca artikel tentang Perang Jamal dan anda bisa menemukan artikel Perang Jamal ini dengan url http://manfaatputih.blogspot.com/2013/08/perang-jamal.html, anda boleh menyebarluaskannya atau mengcopypaste-nya jika artikel Perang Jamal ini sangat bermanfaat bagi teman-teman anda, namun jangan lupa untuk meletakkan link Perang Jamal sebagai sumbernya.
0 komentar:
Posting Komentar
Beri Komentarmu disini!